Dalam masa tidak sampai 10 minit, lapan dulang emas lesap dilarikan sekumpulan perompak dalam satu kejadian kira-kira pukul 3 petang di Pasaraya Tesco, di sini, hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Ali Ahmad, empat lelaki meluru masuk ke dalam sebauh kedai emas dalam pasaraya tersebut dan memecahkan kaca meja pameran.

"Suspek dipercayai menggunakan dua pucuk pistol, satu tukul besi dan sebilah parang.

"Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di sekitar premis dan pasaraya berkenaan, suspek masuk dan melarikan diri melalui tangga tepi pasaraya berkenaan," katanya.

Menurut ACP Ali, tiga lagi rakan perompak itu menunggu suspek menggunakan tiga buah motosikal jenis 125z warna hitam dan kuning.

Katanya, tiada tembakan dilepaskan dan jumlah kerugian sebenar belum dapat dipastikan.

"Gerakan Ops Tutup giat dilakukan," katanya lagi.