Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan terdapat sindiket menculik kanak-kanak untuk penjualan organ.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata walaupun polis telah beberapa kali membuat kenyataan tidak wujud kegiatan sedemikian di Malaysia, berita palsu itu masih lagi ditularkan.

Menurutnya, polis memandang serius tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu dan menggesa masyarakat agar maklum bahawa pemindahan organ hanya boleh dilakukan secara sah oleh pakar perubatan dan bukannya sembarangan orang.

"Lebih-lebih pemandu van putih yang sering dikaitkan dengan kegiatan menculik kanak-kanak untuk tujuan mendapatkan organ mereka.

"Pemindahan organ juga hanya boleh dilakukan mengikut prosedur-prosesur pembedahan yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mazlan berkata, PDRM sekali lagi menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebar atau berkongsi maklumat palsu kerana tindakan tersebut bukan sahaja tidak bertanggungjawab tetapi turut menjejaskan ketenteraman awam serta membangkitkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

"Mana-mana individu yang dikesan menyebar berita palsu boleh disiasat dan didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian," katanya.