"Saya fikir takkan saya lebih teruk daripada Trump," kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, apabila diminta menilai kepimpinannya sendiri menjelang ulang tahun pertama pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Malaysia.

"Terdapat ramai pemimpin dalam dunia, tetapi saya tidak fikir saya lebih teruk daripada Trump (Presiden Amerika Syarikat Donald Trump), saya tidak fikir saya lebih teruk daripada pemimpin British, pemimpin Perancis, pemimpin Sepanyol dan para pemimpin lain juga.

"Sebagai perbandingan, saya tidaklah teruk sangat. Boleh kamu beritahu saya pemimpin mana yang lebih baik daripada saya?" katanya menjawab soalan media apabila diminta untuk menilai sendiri kepimpinannya.

Dalam satu temu bual khas sempena setahun pemerintahan PH, Dr Mahathir berkata biasanya beliau tidak akan menilai diri sendiri kerana lebih suka ia dinilai orang lain.

"Apa yang saya tahu orang tidak mengutuk saya, menghentam saya kecuali media. Tapi itu kerja anda. Dan saya menghargainya. Saya suka diperingatkan jika saya melakukan kesalahan dan lemah, supaya saya dapat memperbetulkan diri," kata beliau.

Pemimpin yang amat berpengalaman itu seringkali menerima reaksi daripada kedua-dua belah pihak yang menyokong dan menentangnya.

"Ada orang menentang saya dan mengharapkan saya dah mati. Tapi ada juga orang yang mesra dengan saya, mereka bersalam dengan saya dan mengucapkan, 'saya sayang kamu'," katanya.

Sebagai seorang pemimpin Dr Mahathir berkata beliau berasa masih bertenaga sesuai usia walaupun telah mencapai usia 93 tahun.

Dr Mahathir yang gemar menjawab soalan secara berseloroh berkata, "ramai orang pada usia 93 sudah tidak mampu berfikir lagi tetapi saya masih mampu menjawab 'soalan nakal' anda.

Ditanya sama ada usia beliau memberi kelebihan kepada kepimpinannya, berkata tiada apa-apa kelebihan melainkan beliau lebih berpengalaman.

"Dua puluh dua tahun sebagai Perdana Menteri banyak memberi pengajaran kepada saya," katanya.

Dr Mahathir, yang juga tokoh yang mencetuskan Wawasan 2020 berkata idea kebangsaan itu kini telah dilanjutkan ke "Wawasan 2025".

"(Ini kerana) pemimpin sebelum saya telah memastikan kami tidak mencapat objektif kami," kata beliau.

Mengenai rancangan penggantian Perdana Menteri, Dr Mahathir mengulangi bahawa beliau telah berjanji akan berundur selepas dua tahun untuk membei laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ia sesuatu yang hampir pasti. Tiada cakap-cakap mengenai siapa akan menggantikan beliau dan apa yang akan dilakukan," kata Dr Mahathir.

Beliau berkata sesiapa juga yang menggantikan beliau nanti tidak perlu mengikut arahan beliau atau menyambung apa yang telah beliau lakukan.

"Beliau bebas melakukan apa sahaja yang beliau fikirkan baik sebagai Perdana Menteri. Saya tiada kuasa lagi untuk menentukan apa yang berlaku selepas itu. Tugas saya adalah untuk mempersiapkan negara seberapa banyak yang mungkin," kata beliau.

-- BERNAMA