Taktik baharu 'love scam' gunakan Islam di Terengganu

Taktik baharu 'love scam' gunakan Islam di Terengganu
Anggota sindiket akan memujuk rayu sehingga mangsa memasukkan sejumlah wang sehingga beratus ribu ringgit. - Gambar hiasan
KUALA TERENGGANU: Sindiket penipuan 'love scam' kini dikesan menggunakan Islam untuk mempengaruhi mangsa di negeri ini sekali gus mengaut keuntungan mudah, kata Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail.

Beliau berkata taktik terbaharu sindiket yang sebelum ini menggunakan cara 'bermain cinta' itu dikesan apabila polis menerima beberapa aduan daripada mangsa yang mendakwa telah memindahkan sejumlah wang untuk membantu anggota sindiket itu mendalami agama Islam.
"Anggota sindiket akan memujuk rayu sehingga mangsa memasukkan sejumlah wang sehingga beratus ribu ringgit walaupun hanya kenal di talian," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Aidi berkata sebanyak 53 kes penipuan membabitkan 'love scam' dilapor di negeri ini tahun lepas dengan nilai kerugian sebanyak RM12 juta.

Terdahulu, Aidi menyaksikan serah terima tugas antara Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP Fazlisyam Abdul Majid dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan Perundangan) Supt Suffian Santong yang akan memangku jawatan itu, dan Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard DSP Amran Mohd Ghani kepada timbalan beliau ASP Nurul Isma Khairuddin yang akan memangku jawatan itu.

ACP Abdul Rahim Mat Din pula menerima tugas Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu daripada Supt Suffian Sulaiman yang sebelum ini memangku jawatan itu.

-- BERNAMA

Tag: sindiket, penipuan, love scam, terengganu, islam, perdaya, mangsa, keuntungan


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.