Taktik seorang wanita dipercayai ibu ayam yang berpura-pura menjadi pelanggan di sebuah pusat karaoke, terbongkar selepas didapati menguruskan 17 pelayan pelanggan atau GRO di premis tersebut.

Kegiatan itu dibongkar hasil serbuan Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor di sebuah pusat karaoke di Batu 11, Kajang tengah malam tadi.

Dalam serbuan itu, tiga lelaki tempatan yang bekerja di premis terbabit turut ditahan.

Pegawai Turus D7 Selangor, DSP Norhizam Bahaman berkata, pihaknya turut menemui dua paket plastik lutsinar dipercayai mengandungi dadah syabu di dalam salah satu bilik karaoke di premis berkenaan.

Ketika serbuan, terdapat kira-kira 20 pengunjung sedang berhibur termasuk yang mendapat layanan GRO berkenaan.

Kesemua mereka diarah menjalani ujian air kencing.

Siasatan juga mendapati premis tersebut turut menyediakan bilik khas untuk pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat seks.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk siasatan lanjut.