Taman Eko Rimba Gunung Pulai 1 dekat Kulai, ditutup kepada pengunjung mulai semalam (Rabu) sehingga 26 Februari ini berikutan beberapa kejadian leptospirosis di pusat rekreasi berkenaan.

Pegawai Daerah Kulai Mohd Radzi Mohd Amin berkata pihaknya menerima makluman berhubung penutupan terbabit daripada Pejabat Kesihatan Daerah Kulai.

"Pejabat Kesihatan Daerah Kulai mengesahkan notis perintah tutup yang dikeluarkan pada 12 Februari (semalam). Ini merupakan tindakan di bawah Seksyen 18 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Penutupan ini adalah ekoran daripada kejadian beberapa kes leptospirosis (kencing tikus) yang dikaitkan dengan penggunaan premis berkenaan," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Mohd Radzi berkata perintah penutupan itu adalah bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan agar kawasan berkenaan selamat bagi pengunjung.

Beliau berkata sehubungan itu, pihaknya menasihati orang ramai supaya tidak mengunjungi pusat rekreasi berkenaan sementara tugas pembersihan dilakukan.

Terdahulu, tular di media sosial berhubung gambar notis penutupan Taman Eko Rimba Gunung Pulai 1 oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kulai mulai 12 hingga 26 Februari ini ekoran jangkitan kencing tikus.

Pusat rekreasi itu sebelum ini pernah ditutup kepada pengunjung antara Mei dan Jun 2017, juga akibat kencing tikus.

-- BERNAMA