Taman KLCC taman awam terbaik negara - Arkitek landskap

Taman KLCC taman awam terbaik negara - Arkitek landskap
Taman KLCC yang melengkapi Menara Kembar Petronas itu memenuhi kriteria penting taman awam. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Taman KLCC yang terletak di tengah-tengah hutan batu di ibu negara layak diiktiraf sebagai taman awam terbaik Malaysia, demikian menurut seorang pakar landskap.

Dekan Fakulti Reka bentuk dan Seni bina Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Osman Mohd Tahir berkata taman yang melengkapi Menara Kembar Petronas itu memenuhi kriteria penting taman awam antaranya berperanan sebagai penghubung kawasan yang membolehkan orang ramai menggunakannya pada setiap masa selain dijadikan tempat beriadah dan pelbagai lagi.

"Selain itu pembinaannya turut mengambil kira semua peringkat umur dari kanak-kanak hingga orang dewasa termasuk kemudahan untuk orang kurang upaya," katanya dalam temu bual dengan Bernama di pejabatnya di Serdang, baru-baru ini.

Osman yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam Pengurusan Landskap Bandar Lestari, University of Newcastle upon Tyne, United Kingdom, berkata selain dilengkapi pelbagai fasiliti untuk kegunaan awam termasuk trek joging sepanjang 1.3 kilometer, taman itu juga ditanam dengan pelbagai tumbuhan warisan.
"Pemilihan jenis tumbuh-tumbuhan penting seperti tumbuhan tropika (palma dan pokok buah-buahan) yang dapat menarik fauna seperti burung seterusnya mengimbangkan ekosistem," katanya, menambah keputusan mengekalkan pokok dan tumbuhan asal di tapak Pusat Lumba Kuda Kuala Lumpur itu adalah bijak.

Contohnya semasa pembinaan taman, pokok batai yang sememangnya ada di situ dibongkar dan dipelihara sebelum ditanam semula bagi mengekalkan tumbuhan warisan di kawasan berkenaan, katanya.

Menurutnya tidak mustahil Taman KLCC boleh berkekalan sehingga ratusan tahun seperti The Eden Garden di Cornwall, England yang merupakan antara taman tercantik dan popular dalam kalangan pelawat.

Taman KLCC yang berkeluasan 20 hektar itu direka bentuk oleh arkitek landskap dan pencinta alam terkemuka dunia dari Brazil, mendiang Roberto Burle Marx.

Taman tersebut dilaporkan menerima 2,000 hingga 3,000 pengunjung setiap hari dan meningkat berkali ganda ketika warga kota meraikan acara-acara tertentu seperti Ambang Tahun Baharu dan sambutan Hari Kebangsaan.

Taman yang dibuka kepada orang ramai pada 1998 oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi perdana menteri kali pertama, merupakan satu komponen penting dalam pelan induk pembangunan KLCC yang berkeluasan 40 hektar berkenaan.

-- BERNAMA