Kawasan Tugu Negara yang menjadi simbol perjuangan negara bakal ditransformasi kepada sebuah taman bertaraf dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kawasan seluas 66 ekar akan menjadi seperti taman lain bertaraf dunia seperti di New York dan London.

"Jika di London ada Hyde Park dan di New York ada Central Park. Jadi kita mahu Taman Tugu ini menjadi taman bertaraf dunia.

"Kita jangkakan projek ini akan siap pada pertengahan 2018 selain kita mahu penglibatan masyarakat untuk memberi pandangan dan idea bernas untuk membangunkan kawasan ini," katanya pada Majlis Perasmian Projek Taman Tugu di sini hari ini.

Malah, katanya apabila projek tersebut siap dibangunkan pada pertengahan 2018, para pemimpin dunia yang datang ke Kuala Lumpur bakal di bawa ke sini untuk menanam pokok.

Taman hutan hujan ini akan diwujudkan menerusi inisiatif pemuliharaan sebuah kawasan hutan sekunder yang terletak di kawasan berhampiran Tugu Negara.

Kawasan seluas 66 ekar ini bakal dibuka kepada orang awam dan dijadual beroperasi pada 2018.

Kawasan seluas 66 ekar ini bakal dibuka kepada orang awam dan dijadual beroperasi  pada 2018. - Foto Khazanah Nasional

Terbahagi kepada tiga zon iaitu Zon Aktiviti Luar, Zon Pendidikan dan Zon Keluarga dan Komuniti, ia menyediakan aktiviti-aktiviti bersesuaian yang akan menarik orang ramai dari pelbagai komuniti dan generasi.

Apa yang menarik, laluan pejalan kaki dari KL Sentral ke Taman Botani Perdana melalui Muzium Negara juga akan dibina bagi menggalakkan orang ramai berjalan kaki menikmati keindahan alam dan tempat tarikan serta bersejarah.

Apa yang menarik, laluan pejalan kaki dari KL Sentral ke Taman Botani Perdana melalui Muzium Negara juga akan dibina bagi menggalakkan orang ramai berjalan kaki menikmati keindahan alam dan tempat tarikan serta bersejarah. - Foto Khazanah Nasional

Projek ini merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan bukan bermatlamatkan keuntungan yang diterajui Khazanah Nasional Berhad dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta beberapa kementerian, agensi dan badan bukan kerajaan (NGO).

Berkonsepkan memelihara dan memulihara alam sekitar, kira-kira 5,000 pokok hutan hujan tempatan akan ditanam dikawasan tersebut.