Kerajaan perlu mengkaji semula skop undang-undang sedia ada yang sekiranya ia tidak mencakupi isu-isu melibatkan Islam, Sultan dan Yang di-Pertuan Agong.

Penasihat Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, pertambahan akta baharu boleh difikirkan seandainya undang-undang sedia ada tidak berkesan dalam melindungi isu yang ditimbulkan.

"Kalau dibandingkan dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), ia lebih luas. Ia (akta itu) pertahan keselamatan negara secara keseluruhan. Jadi maksudnya, kalau kita hendak banding ISA dengan undang-undang yang baru dicadangkan, memang jauh sekali sebab undang-undang itu spesifik kepada melindungi Islam sementara ISA lebih luas skopnya melindungi negara.

"Jadi persoalannya, adakah undang-undang sekarang ini tidak cukup hendak melindungi kesucian agama Islam itu sendiri?

"Kalau kita lihat bahawa banyak peruntukan ada, kita tahu undang-undang Akta Hasutan, kita ada juga akta di bawah Kanun Keseksaan dan beberapa undang-undang lain yang spesifik lindungi Islam daripada penghinaan dan daripada dijatuhkan dalam pelbagai cara," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Nik Ahmad Kamal mengulas cadangan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, agar kerajaan mewujudkan Akta Anti Islam Dan Raja-Raja Melayu atau AMIRA.

Kata Ibrahim, AMIRA dapat memastikan keselamatan negara terjamin daripada individu atau pihak yang cuba mencemar keamanan negara.

Kerajaan memansuhkan ISA pada 2011 dan digantikan dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).