Tambahan 400 Pegawai Penyiasat Polis

KOTA KINABALU: Polis akan menambah 400 pegawai penyiasat dalam usaha untuk meningkatkan standard penyiasatan dan proses pendakwaan bagi meningkatkan imej pasukan itu mulai Januari depan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata pegawai penyiasat yang terdiri daripada masing-masing 200 pegawai penyiasat berpangkat Inspektor dan penolong pegawai penyiasat berpangkat Sarjan itu telah dilatih dalam bidang penyiasatan.
"Beban kerja yang banyak membuatkan mereka tidak memfokuskan kerja mereka dalam menangani kes jenayah dan apa yang kita hendak mereka membina kapasiti kerja untuk meningkatkan profil penyiasatan dan pendakwaan kes," katanya pada sidang akhbar di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Sabah pada Khamis.

Mohd Bakri berharap pasukan pelapis muda yang berusia dalam lingkungan 25 hingga 40 tahun itu mempunyai diploma dan ijazah penyiasatan daripada Pusat Latihan Polis (Pulapol) akan membantu menyelesaikan kes secara lebih pantas dan profesional.

Beliau berkata usaha itu bagi mengecilkan peranan pegawai penyiasatan yang terpaksa menanggung beban kerja dengan nisbah satu pegawai melaksanakan lima kertas siasatan dalam satu masa berbanding kini mencakupi sehingga 20 kertas.