Mendiang Datuk Tan Huat Seang, ahli perniagaan yang maut dalam nahas helikopter semalam bersama lima orang lagi, sepatutnya meraikan majlis ulang tahun kelahirannya yang ke-59 hari ini, menurut kenalannya Datuk Syed Sobri Syed Hashim.

Syed Sobri, Pengerusi Majunaka Eco Energy Sdn Bhd, yang ditemui ketika mengunjungi rumah Tan di Taman Golf hari ini, berkata isteri mendiang telah cuba menghalang suaminya ke Pekan, Pahang semalam untuk menghadiri majlis resepsi perkahwinan anak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ia kerana isteri mendiang Datuk Tan hendak menyambut ulang tahun kelahiran beliau bersama-sama," katanya.

Bagaimanapun Tan, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Perumahan SP Baiduri Sdn Bhd, pergi juga atas pelawaan Pengerusi Perbadanan PR1MA, Tan Sri Jamaluddin Jarjis.

Tan sepatutnya pulang ke Alor Setar hari ini.

Jamaluddin dan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Seri Azlin Alias turut terkorban apabila helikopter yang mereka naiki bersama Tan dan tiga yang lain terhempas di Semenyih petang semalam.

Syarikat SP Baiduri yang diterajui mendiang Tan, terlibat dalam pembinaan lebih 1,000 unit rumah pelbagai jenis di bawah Program Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Sungai Petani.

Sementara itu, bekas anggota Parlimen Langkawi, Datuk Abu Bakar Taib yang mengunjungi rumah Tan hari ini berkata mendiang Tan seorang yang rajin bekerja dan suka bergurau.

"Mendiang bukan berasal daripada keluarga berada, tetapi kerana sifatnya yang rajin, dia boleh berjaya," katanya.

Beliau dan keluarga masih terkejut dengan kejadian menimpa rakannya yang dikenalinya sejak tahun 1980-an itu.

"Saya amat terkejut mendengar berita ini, itu yang mampu saya katakan. Saya selalu mengingatkan anak-anak saya supaya mencontohi kegigihan beliau dalam mencapai kejayaan," kata Abu Bakar.

Mayat mendiang di bawa ke Taman Peringatan di Nilai untuk upacara pembakaran sebelum abunya dibawa pulang kerumahnya di Taman Golf malam ini.

Tan yang dikenali sebagai ahli perniagaan yang tidak gemar publisiti, meninggalkan seorang isteri dan empat anak terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan.