Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman tidak digugurkan daripada Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), ujar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malah, jelasnya, kedudukan pemimpin itu tidak dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan.

"(Pandangan Tan Sri Abdul Rashid) Itu bukan dasar parti kita. Itu dia punya pendapat. Setakat ini, (beliau) tidak (digugurkan daripada ERC)," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Bangunan Yayasan Al-Bukhary di sini.

Sebelum ini, BERSIH 2.0 menyelar kenyataan Tan Sri Abdul Rashid semasa Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu bulan lalu yang mahu sumber dan kontrak kerajaan disalurkan kepada ketua bahagian parti itu.

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 dalam satu kenyataan, mempersoalkan sama ada Abdul Rashid serta perwakilan BERSATU yang memberi sorakan gemuruh pada ucapan itu, sudah lupa mengapa rakyat menolak UMNO dan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).