Allahyarham Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dilihat sebagai seorang ahli politik yang berani, tegas dan berjiwa rakyat.

Penganalisis politik Sarawak, Dr Jeniri Amir berkata Allahyarham juga menerima sokongan padu dari warga Sarawak kerana perwatakan dan jiwa yang disenangi ramai, yang dilihat membantu Barisan Nasional (BN) mengekalkan kemenangan di Sarawak pada pilihan raya negeri Mei lalu.

"Harus kita ingat, menjelang pilihan raya lalu, populariti beliau mencecah 85 peratus.

"Itu angka yang cukup tinggi dan ia disebabkan perwatakan beliau dan langkah (yang diambil) yang betul-betul menyentuh aspirasi rakyat," kata Dr Jeneri.

"Beliau cuba menyelesaikan masalah secara pragmatik, secara praktikal. Masalah yang selama ini menjadi duri dalam daging yang menyebabkan rakyat menolak, tetapi beliau faham, melekapkan telinganya ke bawah, menghidu segala apa yang patut dihidu, menemui sesiapa yang sepatutnya ditemui. Beliau dengan keazaman politiknya - berani, tegas, melakukan sesuatu yang sepatutnya dilakukan oleh ketua menteri Sarawak."

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan, kira-kira pukul 1.20 petang tadi.


Sementara itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof turut berkongsikan pengalaman bekerja dengan Allahyarham.

"Beliau seorang yang straightforward (berterus terang), yang inginkan hasil, kurang bercakap tetapi mahukan kerja yang cemerlang.

"Kalau orang yang tidak kenal Allahyarham, seolah-olah nampak tidak mesra tetapi sebenarnya beliau berjiwa besar dan jiwanya begitu halus. Beliau mendengar dan membuat kerja yang memberikan kebaikan kepada kita. Beliau lebih fokus menyelesaikan masalah rakyat,"

Fadillah yang juga ahli parlimen Petra Jaya berkata Allahyarham sering turun padang untuk mendengar rintihan rakyat.

"Ini dibuktikan dalam masa yang singkat walaupun dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan. Beliau terus hadir dalam apa sahaja program yang mampu beliau hadir.

"Beliau akan mendengar permasalahan rakyat bukan secara formal, tetapi kadang-kadang berjalan sendiri, pergi ke kedai kopi, mendengar rintihan rakyat. Kemudian beliau balik, berfikir dan cuba menyelesaikan masalah."