Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron menafikan Tanah Adat Melaka (MCL) semakin berkurangan, malah menegaskan telah mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus sejak 2006.

Beliau berkata ini berikutan terdapat banyak permohonan daripada pemilik tanah yang mahu ubah status kepada MCL kerana mahu mengekalkan tanah itu sebagai warisan kepada anak cucu.

Idris berkata demikian kepada pemberita apabila diminta mengulas dakwaan bahawa tanah MCL telah berkurangan, selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Melaka anjuran Pos Malaysia Melaka, di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Seri Naim Abu Bakar dan Pengurus Besar Pos Melaka Ahmad Seman.

Sementara itu ketika ditanya mengenai gelombang cuaca panas fenomena El Nino yang dijangka bermula Mac ini, Idris berkata kerajaan negeri telah membuat persediaan bagi menghadapinya.

-- BERNAMA