Kajian mendapati kandungan mineral dalam bauksit boleh memudaratkan kesihatan manusia, kata Pakar Mineralogi Tanah Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Shamsuddin Jusop.

Menurut kajian, terdapat bukti kukuh bauksit mengandungi logam berat seperti aluminium, kromium, besi dan nikel yang boleh mengakibatkan penyakit termasuk kanser paru-paru.

"Bauksit itu ada mineral yang tidak baik untuk badan kita. Umpamanya alumimium, besi, kromium dan nikel yang tidak baik untuk badan kita," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, hari ini.

Selain itu, kajian mendapati aktiviti perlombongan bauksit bukan hanya merosakkan tanaman terutamanya kelapa sawit malah tanah yang dilombong tidak lagi subur untuk pertanian.

"Dia gali lubang luas untuk mengangkat bauksit dan kemudian tutup balik tetapi sebahagian sahaja tanah yang ditutup jadi masih ada lubang yang akan menakung air hujan dan kemudian akan melimpah serta mengalir ke kawasan berdekatan.

"Kalau melombong di tanah kelapa sawit ia akan merosakkan tanaman berkenaan kerana kandungan dalam bauksit boleh mematikan pokok kelapa sawit dan sebagainya.

"Kalau sudah melombong untuk tempoh lama dan tanah itu telah rosak, ia akan mengambil masa lama untuk perbaiki tanah tersebut, sampai beratus-ratus tahun pun tidak boleh pulih semula," katanya.

Sementara itu, Shamsuddin menyifatkan tempoh tiga bulan untuk menghentikan sebarang aktiviti melombong bauksit sebagai terlalu singkat untuk keadaan kembali normal.

Sebaliknya, ia memerlukan masa yang lebih lama susulan aktiviti perlombongan tidak terkawal.