Isu pembelian tanah di Kampong Bharu di ibu negara masih belum mendapat keputusan majoriti dalam kalangan penduduk sama ada untuk meneruskan projek pembangunan yang dirancang sebelum ini atau sebaliknya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata pihaknya akan menantikan laporan daripada pihak Perbadanan Kampong Bharu (PKB) sehingga 30 Jun ini untuk mendapatkan suara kolektif berhubung persetujuan pembangunan di kawasan itu.

“Setakat ini, saya terima laporan hanya 61 peratus sahaja yang bersetuju untuk jual tanah mereka, dengan angka itu adakah cadangan asal itu boleh diteruskan sama ada setuju atau tidak?

“Dalam prinsip membeli secara sukarela, 100 peratus perlu bersetuju jika tidak proses jual beli tidak dapat dilakukan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kartun COVID19 di Taman Botani Perdana, di sini pada Jumaat.

Katanya lagi, kerajaan akan terus menantikan laporan daripada pihak PKB sebelum membawa sebarang keputusan kepada jemaah menteri.

Tegas Annuar lagi, kerajaan komited untuk membangunkan kawasan Kampong Bharu dan akan tampil dengan beberapa alternatif lain sekiranya idea asal itu tidak mendapat persetujuan majoriti penduduk.

Bagaimanapun katanya pemilikan haruslah kekal buat penduduk Melayu.

Sebelum ini, kerajaan terdahulu membuat tawaran pembelian tanah bernilai RM1,000 bagi satu kaki persegi terhadap penduduk Kampong Bharu bertujuan untuk pembangunan semula kawasan itu.