Penduduk sekitar kawasan Desa Pandan gempar selepas sebahagian projek pangsapuri mewah di Jalan Desa Pandan menuju ke Jalan Tun Razak mendap dipercayai akibat kejadian hujan lebat malam tadi.

Kejadian itu juga menyebabkan sebahagian Jalan Desa Pandan yang terletak dihadapan projek terbabit turut mendap.

Dipercayai kejadian mendap yang pertama kali berlaku di kawasan ini berlaku akibat kerja-kerja mengorek tanah yang dilakukan oleh projek pangsapuri 23 tingkat dan 447 unit berkenaan.

Seorang ahli perniagaan Azizul Hanafiah, 29 tahun berkata, dia terdengar dentuman yang kuat selepas hujan berhenti kira-kira jam 8.30 malam tadi.

“Benda ini terjadi sekitar 8 malam, hujan sedang lebat. Sejurus hujan berhenti terdengar bunyi kuat macam guruh. Semua longkang jatuh ke bawah, lampu pun jatuh termasuk papan tanda dan semua tiang elektrik pun jatuh.

“Jadi kalau berterusan lagi mungkin akan habislah satu jalan raya ini akan mendaplah,” katanya.

Tambahnya dia sempat melihat beberapa kereta hampir gagal dikawal pemandunya gara-gara keadaan jalan berkenaan, dalam kejadian ini, mujur tiada sebarang berlaku kejadian yang tidak diingini.

Menurutnya, orang ramai sempat menutup jalan ini sebelum Jabatan Pertahanan Awam dam Jabatan Bomba tiba.

Sehingga sekarang agensi penguatkuasa sedang mengawal kawasan ini bagi mengelak sebarang kemungkinan berlaku.