KUALA SELANGOR :Seramai 67 pekerja daripada dua syarikat di Bestari Jaya dekat sini dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang selepas berlaku tanah mendap di sebuah kawasan lapang berhampiran premis berkenaan pada petang semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata dalam kejadian pada kira-kira 6.50 petang semalam itu, berlaku tanah mendap sedalam 10 meter (m) dengan berkeluasan 500m x 100m berhampiran Jalan PKPS di Kampung Bestari Jaya dekat sini.

"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada kira-kira 6.51 petang dan tujuh anggota bomba dengan sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian.

"Berdasarkan maklumat awal, JBPM Selangor diberitahu bahawa terdapat seorang mangsa tertimbus akibat tanah mendap berkenaan, bagaimanapun selepas melakukan kiraan pekerja di dua premis berhampiran didapati tiada mangsa hilang atau tertimbus," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Hafisham pemeriksaan pihaknya mendapati masih berlaku runtuhan kecil dan mendapan dan turut dikesan satu rekahan sedalam 10m di kawasan tanah mendap berkenaan.

Kata Hafisham lagi oleh itu pihak JBPM Selangor dan pihak polis telah menasihati agar operasi di dua premis itu diberhentikan sementara waktu dan para pekerja yang tinggal di asrama berhampiran lokasi tanah mendap dipindahkan ke PPS SK Rantau Panjang.

"JBPM Selangor telah menjalankan kerja-kerja sanitasi di sekolah berkenaan sebelum para pekerja ladang ternak ayam itu dipindahkan," katanya.

-- BERNAMA