Keluasan tanah rizab Melayu di negeri ini bertambah kepada 557,518 hektar sehingga April lepas berbanding 557,287 hektar pada Disember tahun lepas.

Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata Kulai merupakan daerah yang merekod keluasan tanah rizab Melayu tertinggi iaitu 75.64 hektar, diikuti Kota Tinggi seluas 49.354 hektar manakala Pengerang seluas 34.54 hektar.

"Dalam rekod yang ada pada saya, sehingga April 2019 pertambahan jumlah keluasan tanah rizab Melayu sejak Pakatan Harapan (PH) meneraju kepimpinan Johor adalah sebanyak 230.24 hektar," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Muhamad Said Jonit (PH-Mahkota) yang ingin tahu jumlah tanah rizab Melayu sejak kerajaan PH mengambil alih kepimpinan negeri.

Dr Sahruddin menegaskan kerajaan negeri amat komited dalam soal memelihara kepentingan Bumiputera.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan terus berusaha memastikan tanah rizab Melayu terpelihara kerana perkara berkenaan amat penting dalam menjaga hak orang Melayu, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya dalam bidang hartanah dan perumahan.

"Walaupun negeri Johor merupakan pilihan pelabur dalam dan luar negara ke negeri ini tetapi kerajaan negeri sedar akan kepentingan untuk memelihara dan memastikan rizab Melayu ini terus menjadi keutamaan kerajaan negeri," katanya.

-- BERNAMA