Penduduk di sekitar Setiawangsa gempar selepas dikejutkan dengan kejadian tanah runtuh malam semalam.

Kejadian berlaku di lereng bukit berhampiran kawasan perumahan.

Runtuhan lereng bukit membabitkan kawasan sepanjang 350 meter dengan ketinggian 60 meter itu menjejaskan 14 buah rumah.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden yang berlaku sekitar jam 9 malam.

Bagi mengelak sebarang kejadian berulang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan beberapa agensi berkaitan telah mengambil langkah sewajarnya.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata pihak DBKL sedang bekerjasama dengan semua agensi lain untuk memantau kejadian tersebut.

"Kami bersama Ikram DBKL, polis dan lain-lain agensi berkaitan bersama akan memantau kejadian ini dan sebagai langkah berjaga-jaga kejadian ini kita telah meminta mereka yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh ini untuk berpindah”.

Jelasnya semua mereka yang terdedah dengan kejadian tanah runtuh ditempatkan di dewan serbaguna berdekatan.

Ekoran kejadian itu, laluan alternatif dibuka bagi memudahkan urusan harian penduduk.

Pegawai Institut Kerjaraya Malaysia, Mohd Taufik Harun berkata salah satu kemungkinan besar adalah hujan.

"Walaubagaimanapun, kita akan fokus pada keselamatan sehari dua ini," Mohd Taufik berkata.

Punca sebenar masih disiasat dan akan diketahui dalam tempoh masa terdekat.