Seorang pekebun terpaksa menanggung kerugian lebih RM10,000 selepas tanaman pisang dan kelapa sawit yang ditanamnya di Kampung Padang Setar, di sini, diserang gajah.

Menurut Harun Isa, kejadian serangan itu telah berlarutan sejak seminggu yang lalu dan menyebabkan kira-kira 500 pokok pisang dan sebahagian pokok kelapa sawit miliknya rosak.

Jelasnya, dia percaya pokok yang diusahakan hampir dua tahun lalu itu dimusnahkan seekor gajah jantan berdasarkan saiz tapak kaki yang ditemui di kebunnya.

"Terkejut apabila datang sini, tengok pokok-pokok terbalik. Tetapi, kita sudah biasa dengan perkara begini dalam hutan ini.

"Kita sudah lama tinggal di sini, lebih 50 tahun," kata Harun sambil menambah, dia pernah melihat kelibat gajah berkenaan di dalam kebunnya sebelum ini.

Warga emas yang berusia 76 tahun itu berkata, ancaman gajah liar tersebut bukan pertama kali berlaku di kawasan mereka.

Justeru, beliau memohon tindakan yang lebih proaktif dapat diambil pihak berwajib bagi mengatasi masalah tersebut.