Sebagai tanda kasih lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadan, Malabar Gold and Diamonds telah menyumbangkan 150 beg makanan kepada beberapa persatuan masyarakat buta di Kuala Lumpur.

Bantuan itu diberikan atas ihsan kedai barangan kemas itu bagi meringankan beban golongan kurang upaya itu.

Menurut Ketua Cawangan Malaysia premis itu, Nijeesh P, kempen tersebut merupakan kali ketiga diadakan sejak penubuhan kedai itu di Malaysia.

“Kami melihat kehidupan mereka amat sukar untuk mendapatkan keperluan asas. Oleh itu, kami mengutamakan mereka kerana kami dapati golongan orang buta di Malaysia agak ramai,” katanya.

Tambah beliau, selain daripada kempen pengagihan makanan, mereka juga akan memberi sumbangan berbuka puasa kepada 1,200 orang melalui pelbagai persatuan.

Komuniti OKU penglihatan di Kuala Lumpur beratur bagi mendapatkan pek makanan. - Astro AWANI

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, yang turut hadir bagi mengagihkan barangan tersebut mengharapkan program seperti itu tidak dilakukan hanya pada bulan Ramadan.

“Saya anggap ini satu inisiatif yang amat baik daripada pihak Malabar Gold and Diamonds sebagai tanda kasih kepada komuniti yang kurang berkemampuan,” kata beliau ketika ditemui Astro AWANI di Jalan Masjid India, di ibu negara.

Beg makanan ini dilengkapi beras, gula, minyak dan beberapa keperluan asas yang boleh digunakan untuk waktu bersahur dan berbuka. - Astro AWANI

Dalam satu majlis yang ringkas tetapi penuh bermakna itu, penyampaian pek makanan itu diserahkan oleh Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Fahmi Fazdil.

Beg makanan tersebut dilengkapi beras,gula, minyak, dan beberapa keperluan asas yang boleh digunakan untuk waktu bersahur dan berbuka puasa.