Semua majlis akad nikah di Perak hendaklah ditangguhkan sepanjang tempoh kawalan COVID-19, bermula 21 Mac sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusop Husin, semua Pegawai Tadbir Agama (PTA) perlu mengambil maklum mengenai arahan tersebut dan membuat tindakan lanjut mengikut daerah masing-masing.

"Dukacita dimaklumkan bahawa semua majlis akad nikah sepanjang tempoh kawalan COVID-19 hendaklah ditangguhkan serta merta dari tarikh 21 Mac 2020 sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

"Dipohon memaklumkan kepada jurunikah di bawah kawalan PTA masing-masing," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tindakan itu juga dibuat demi melindungi keselamatan jurunikah dan pihak lain yang terlibat, termasuk mengelakkan risiko jangkitan COVID-19.