Sekolah di daerah yang terjejas dengan bencana banjir dinasihatkan supaya menangguhkan sesi persekolahan sekiranya situasi banjir semakin buruk.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob berkata pihak sekolah perlu merujuk kepada Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah bagi memastikan keadaan adalah selamat bagi murid untuk ke sekolah.

"Sekiranya pengerusi bencana mendapati keadaan tidak selamat, pihak sekolah perlu menangguh sesi persekolahan di sekolah yang terlibat," katanya kepada pemberita di Bilik Gerakan Operasi daerah Kota Marudu, di sini pada Ahad.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Mistirine Radin ketika dihubungi berkata setakat ini Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sedang dalam proses mengemas kini jumlah sekolah yang ditutup.

Beliau berkata ia bagi memastikan proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah yang terlibat tidak terjejas.

Setakat tengah hari Ahad, enam daerah dilanda banjir melibatkan 19 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

- BERNAMA