Kerajaan Persekutuan diminta menangguhkan keputusan menguatkuasakan langkah penstrukturan semula saluran penjualan rokok dan minuman keras serta mengetatkan syarat pengecualian cukai kenderaan import di Langkawi, yang bermula 1 Ogos ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Nor Saidi Nanyan berkata pelaksanaan langkah-langkah itu tidak perlu dibuat secara tergesa-gesa tanpa mengambil kira pandangan penduduk setempat.

"Kerajaan perlu membuat kajian semula dan mengambil kira sensitiviti penduduk tempatan agar mereka tidak terkesan dengan keputusan yang diambil ini," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian mengulas keputusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dalam satu taklimat yang dihadirinya Isnin, untuk menguatkuasakan pelaksanaan langkah-langkah itu bermula bulan depan.

"Secara umumnya saya faham langkah ini sebagai usaha mengurangkan ketirisan yang mengakibatkan kehilangan hasil hampir RM1 bilion dan ia tidak melibatkan penarikan balik status Pulau Langkawi sebagai pulau bebas cukai," katanya.

Nor Saidi berkata antara langkah yang akan diambil jabatan itu termasuklah mengehadkan penjualan rokok dan minuman keras hanya di kedai-kedai yang memiliki lesen bebas cukai.

Beliau berkata di bawah peraturan baharu itu juga, pemilik kenderaan yang dibeli di Langkawi juga akan dikehendaki mendapatkan jaminan bank terlebih dahulu sebelum boleh membawa kenderaan itu keluar dari pulau ini.

Katanya pelaksanaan peraturan-peraturan baharu itu kelak boleh memberi kesan secara langsung kepada rutin seharian penduduk di sini.

Menurutnya jabatan berkenaan boleh mempertimbangkan mekanisme-mekanisme lebih sesuai untuk menterjemahkan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa beliau membentangkan langkah pengubahsuaian Bajet 2016 pada Januari lepas.

"Kita tidak nafikan ada berlaku ketirisan pendapatan tetapi langkah-langkah yang akan diambil dibuat setelah ada rundingan secara menyeluruh dengan rakyat," katanya.