Lapangan terbang di Malaysia bersiap-siaga menghadapi sebarang kemungkinan ancaman pengganas hasil kerjasama bersepadu anggota komuniti penerbangan antarabangsa berkaitan keselamatan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata adalah penting bagi negara dan agensi terbabit berganding bahu dalam memberi penekanan kepada mekanisme berkenaan untuk menangkis risiko seperti itu.

Berikutan peningkatan dalam ancaman keganasan dan siber, beliau berkata keselamatan adalah perkara yang perlu diberi keutamaan.

Liow yang ditemui sewaktu merasmikan Persidangan Keselamatan Aviasi Dunia ke-25 (AVSEC) di ibu negara pada Selasa berkata maklumat yang diberikan Kementerian Dalam Negeri akan disalurkan kepada beberapa agensi penerbangan luar negara.

Persidangan tiga hari itu dianjurkan bersama oleh ICAO, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa dan Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa

Maklumat yang disalurkan akan memastikan tahap keselamatan setiap penerbangan diutamakan melalui sistem 'tracking' atau penjejakan kapal terbang dalam masa nyata.

Selain itu Kementerian Pengangkutan, melalui Jabatan Penerbangan Awam sentiasa bekerjasama dengan agensi penerbangan luar negara termasuk organisasi bukan kerajaan seperti Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

"Lapangan terbang kita bersedia selepas mempelajari dari kejadian serangan di lapangan terbang Brussels, Belgium dan Turki dimana kita telah meningkatkan penggera keselamatan dan mengetatkan prosedur keselamatan di lapangan udara dan darat.

"Pada masa yang sama kami saling bekerjasama dengan agensi luar negara seperti ICAO untuk bertukar maklumat paling cepat dan tepat dalam industri pengangkutan udara udara seperti maklumat mengenai status keselamatan penerbangan di kawasan berkonflik.

"Kejadian letupan pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak sewaktu penerbangan di laluan udara konflik dahulu telah memberi kami pengajaran. Saya mahu AICO dan kementerian untuk bertukar maklumat penting kepada setiap sistem penerbangan mengenai status keselamatan di udara," katanya.

Dalam ucapan pembukaan beliau, Liow turut menyebut tragedi serangan pengganas di lapangan terbang Brussels pada Mac tahun ini sebagai salah satu kajian kes yang dipelajari kerajaan dan industri penerbangan dalam menangani krisis keganasan.