Tutup

Tanjung Piai Memilih: Warga emas berusia 100 tahun masih bersemangat keluar mengundi

Tanjung Piai Memilih: Warga emas berusia 100 tahun masih bersemangat keluar mengundi
Walaupun sudah berusia 100 tahun, namun bagi Jenab Jaman, itu sekadar angka dan beliau masih bersemangat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. - Gambar Astro AWANI
TANJUNG PIAI: Setiap kali berlangsungnya hari pengundian bagi pilihan raya kecil, akan ada pengundi dengan gelagat tersendiri, yang sudah pasti menarik perhatian media yang membuat liputan.

Bagi Jenab Jaman, walaupun sudah berusia 100 tahun, namun itu sekadar angka kerana warga emas itu masih bersemangat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Menurut suaminya Salleh Dahlan, 88, ini merupakan kali ke-15 Jenab mengundi, termasuk 14 kali pilihan raya umum sejak 1955.

“Pukul 5 pagi dia dah bangun suruh mandikan dan pakaikan baju. Saya pun mandikan dia dengan air suam, pakaikan baju dan bedakkan dia.
“Saya masih tengah tidur dia dah kejut beritahu saya nanti ada kereta ambil mereka berdua untuk pergi mengundi di Sekolah Kebangsaan Rambah,” katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di rumah mereka, hari ini.


Jenab Jaman dan suaminya, Salleh Dahlan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai pada Sabtu. - Gambar Astro AWANI

Salleh berkata, sebetulnya, isterinya lahir pada tahun 1919, bagaimanapun, rekod kelahiran yang didaftar pada kad pengelannya ialah 1927.

Kata Salleh lagi, jenab juga tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan yang kronik, tetapi hanya mengalami masalah penglihatan serta memerlukan bantuan ketika berjalan.

Sementara itu, bagi sekumpulan adik-beradik, pilihan raya ibarat hari raya untuk mereka apabila bersepakat mengenakan baju melayu Teluk Belanga lengkap bersampin.

Bahkan, ada dalam kalangan mereka yang bertanjak sebelum pergi mengundi.

Anak ketiga, Hairul Hapizi Samaon berkata, dia dan adik beradik yang lain termasuk Fatimah (54), Mohd Suhaidi (51), Irudin (50), Noor Zuraidah (40), Hairul Hisham 37, dan Hairul Azhar (35) sepakat ingin mencari kelainan.

Lima beradik bersama ibu mereka memilih mengenakan baju raya semasa keluar mengundi. - Gambar Astro AWANI

Mereka turut membawa ibu mereka, Turiah Saeri, 76, pergi mengundi di Sekolah Kebangsaan Sri Bunian.

“Sempena dengan pilihan raya ini, kami berpeluang berkumpul adik-beradik kerana sewaktu raya hari tempoh hari kami sibuk dengan urusan masing-masing, keluarga masing-masing, dan tak dapat berkumpul

“Kali ini kami kumpul kami meraikan bersama mak kami (yang) tinggal seorang, nak beri semangat, beri semangat untuk merangsangkan kesihatan mak. Kami keseluruhan ada tujuh adik-beradik, tetapi dua lagi dah mengundi awal dan ada yang undi tempat lain,” jelasnya lagi.


Tag: pengundi 100 tahun, warga emas, Jenab Jaman, Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, PRK Tanjung Piai



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.