Tanpa GST, inflasi 2018 turun kepada 1 peratus - Guan Eng

Tanpa GST, inflasi 2018 turun kepada 1 peratus - Guan Eng
Beliau berkata jika ketidakstabilan dagangan global dapat dipulihkan, inflasi akan lebih rendah. - Foto Bernama
GEORGE TOWN: Kadar inflasi negara buat tahun 2018 direkodkan pada 1 peratus dengan disumbang oleh pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata angka itu juga adalah terendah dalam tempoh 9 tahun.

Sementara bagi tahun ini pula, Guan Eng berkata kadar inflasi disasarkan sekitar 1.6 hingga 2 peratus akibat perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.
“Jika perang dagangan antara AS dan China memburuk, inflasi akan meningkat sehingga 2 peratus. Kami masih belum muktamadkan unjuran akhir.

“Jika Presiden Donald Trump menyelesaikan perang dagangan dengan China, kita akan saksikan pasaran saham meningkat kembali,” katanya pada sidang media di Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang di sini pada Jumaat.

Namun beliau berkata 2 peratus masih dianggap rendah berbanding tahun 2017.

Tambah Guan Eng, jika ketidakstabilan dagangan global dapat dipulihkan, inflasi akan lebih rendah.

“Pada 2017, inflasi berada pada 3.7 peratus. Ketika itu kita mempunyai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Kita berjaya kurangkan inflasi dengan pemansuhan GST.

“Harga barang lebih baik di bawah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), lebih baik dari GST,” katanya.

Sementara itu Guan Eng berkata eksport negara mencecah RM1 trilion pada tahun lepas dan kerajaan mensasarkan pertumbuhan eksport disokong kestabilan ekonomi domestik negara.

Tag: Donald Trump, Lim Guan Eng, GST, AS, China, ekonomi, Amerika Syarikat, cukai, SST


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.