Semua pemimpin politik yang masih dikaitkan dengan rekod jenayah atau terlibat dengan kes perbicaraan di Mahkamah disarankan untuk menarik diri jika dipilih untuk berada dalam Kabinet.

Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, langkah itu bagi memastikan aspek integriti serta kredibiliti kerajaan yang dibentuk menerusi Perikatan Nasional mendapat kepercayaan rakyat.

Menurutnya, tindakan itu secara tidak langsung dapat mengelakkan rasa was-was yang boleh menjejaskan parti dan kerajaan dalam jangka masa panjang.

“Dalam memilih Menteri, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disarakan untuk tidak memilih pemimpin parti yang mempunyai rekod jenayah apatah lagi mereka yang masih lagi dalam proses perbicaraan di Mahkamah.

“Adalah lebih baik untuk kita bersikap jujur dan menarik diri supaya kita mempunyai intergriti dan standard dalam pembentukan kerajaan baharu ini. Jika perkara ini tidak diambil kira, sudah pasti akan menjadi buah mulut rakyat serta kejujuran dan intergriti kerajaan akan dipertikai,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.

Mengulas lanjut, Akhbar berkata, pemilihan barisan Kabinet perlu bersifat telus selain memenuhi tiga kriteria tertentu.

“Kriteria pertama ialah berdasarkan merit sesorang yang mana boleh dinilai menerusi pengalaman dan profesionalime dalam melakukan tugas.

“Kedua ialah intergriti iaitu pemimpin dilantik tahu dan tidak melakukan kesalahan demi kepentingan individu.

“Seterusnya ialah memilih pemimpin yang berani kerana benar. Ini bermaksud, apa juga tindakan yang dilakukan merupakan satu tindakan yang berani meskipun diarah atau diwahyukan melakukan sesautu yang tidak baik dan melanggar undang-undang,” jelasnya.

BACA: Perlu ke lantik Menteri untuk setiap kementerian?

BACA: 'Jemaah menteri dalam kalangan individu berintegriti, bebas rasuah' - PM