Mahkamah Tinggi telah menetapkan tarikh perbicaraan melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Siregar, ditunda antara bulan Disember tahun ini, dan Februari tahun hadapan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan pihak pendakwa raya untuk mengenepikan tarikh sebelum ini, bagi memberi laluan kepada perbicaraan SRC International Sdn Bhd yang berlangsung sehingga 21 Jun ini.

Najib, dan Irwan Siregar, sebelum ini menghadapi enam pertuduhan pecah amanah secara bersama, melibatkan dana sejumlah RM6.64 bilion.

Tarikh bagi kes pecah amanah itu, yang turut dikenali sebagai perbicaraan International Petroleum Investment Company (IPIC) itu sebelum ini ditetapkan antara 8 Julai hingga 22 Ogos tahun ini.

“Saya rasa ia tidak akan menunjukkan kecekapan institusi kehakiman sekiranya saya memulakan perbicaraan IPIC ketika mana perbicaraan SRC sedang berlangsung, dan ia juga tidak betul untuk saya memulakan perbicaraan IPIC, selepas mengetahui perbicaraan 1MDB akan bermula 19 Ogos ini.

“Pada pendapat saya, perbicaraan IPIC disenaraikan selepas kes 1MDB, jadi saya cuma akan menukar tarikh ini (8 Julai - 22 Ogos) menjadi tarikh perbicaraan SRC memandangkan kita sudah pun meneruskan perbicaraan ini,” katanya lagi.

Bagaimanapun tarikh sebenar akan dimuktamadkan Isnin hadapan apabila Peguam Negara Tommy Thomas memaklumkan Mahkamah Tinggi, beliau akan berjumpa dahulu dengan Hakim Collin Lawrence Sequerah berhubung tarikh perbicaraan 1MDB.