Keputusan tarikh pembukaan sekolah yang melibatkan 398,446 pelajar Tingkatan 5 dan 6 dijangka akan diketahui esok.

Perkara itu akan diputuskan menerusi perbincangan di antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Timbalan Menteri Pendidikan II, Muslimin Yahaya.

Menurutnya, pembukaan semula sesi persekolahan itu akan melibatkan penugasan semua guru seperti biasa di sekolah yang terbabit.

"Kita menunggu keputusan daripada pihak Menteri Pendidikan untuk membuat pengumuman bila sekolah akan dibuka semula. Dan petang ini, rasanya, kita akan membuat keputusan yang paling penting.

"Ada satu mesyuarat bersama MKN dan KKM (petang ini). Dan esok, andai kata diputuskan pada petang ini, kita akan dapat tahu bila sekolah akan dibuka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja dan tinjauan simulasi sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Permaisuri Bainun, di sini, hari ini.

Ujarnya lagi, seramai 398,446 pelajar itu adalah mereka yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Muslimin (dua kiri) melawat kantin sekolah SMK Raja Permaisuri Bainun di Ipoh hari ini. Astro AWANI

Muslimin berkata, penugasan semua guru selain yang mengajar Tingkatan 5 dan 6 penting bagi memastikan proses pembelajaran berjalan lancar.

"Ia melibatkan 398,446 orang pelajar dengan 347,177 calon SPM, 2,935 calon SVM, 2,738 calon STAM dan 45,596 calon STPM.

"Kita mengguna pakai cikgu-cikgu lain untuk membantu. Kalau dulu kelas kita ada lima, tetapi sekarang jadi 10, atau lebih, bergantung kepada kapasiti.

"Kita menggalakkan setiap kelas antara 17 hingga maksimum 18 orang. Jadi, bila kita meleraikan kelas ini bermaksud kita terpaksa menggunakan ramai tenaga guru.

"Saya kira, lebih baik kalau setiap guru itu memang ditugaskan hadir sama dan memberi bantuan dalam pengajaran dan pembelajaran untuk memastikan proses bersemuka itu berjalan dengan sempurna," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut peka dengan kebimbangan yang disuarakan ibu bapa pelajar mengenai penularan wabak COVID-19 di sekolah dan bagaimana prosedur operasi standard (SOP) akan dilaksanakan.

Muslimin memberi jaminan, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah akan sentiasa memastikan pihak pentadbiran sekolah mengikut garis panduan yang telah disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.