Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad menyifatkan pemberian kadar istimewa bagi kompaun lama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berakhir 30 September lalu tidak berjaya mencapai sasarannya.

Jelasnya, bayaran tertunggak itu sehingga kini mencecah hampir RM1 bilion melibatkan lebih 4 juta saman.

Justeru, beliau kecewa dengan sikap mereka yang masih tidak melunaskan tunggakan berkenaan walaupun DBKL telah berusaha memberi ruang dengan menawarkan kadar istimewa itu.

"Saya agak dukacita kerana tawaran bayar saman DBKL tidak begitu berjaya walaupun kita sudah dapat beberapa juta, sebab banyak lagi bayaran outstanding seperti yang saya sebut dulu adalah hampir RM1 bilion melibatkan sejumlah 4 juta saman," katanya kepada media selepas merasmikan "KL Car Free Morning" anjuran DBKL di sini hari ini.

DBKL sebelum ini menawarkan kepada pengguna kadar khas kompaun lama yang perlu dijelaskan dalam tempoh sebulan iaitu dari 1 hingga sehingga 30 September lalu, membolehkan mereka membayar kompaun RM20 untuk motosikal, RM30 untuk kereta, dan RM50 untuk kenderaan berat.

DBKL juga memperkenalkan diskaun secara automatik bagi kompaun kesalahan-kesalahan trafik DBKL baharu yang dikenakan bermula 1 September.