STATUS sebagai pelajar bukan alasan buat sekumpulan murid Sekolah Seni Malaysia (SSM) Johor tampil dengan produksi teater profesional untuk dipersembahkan kepada umum.

Bukan sekadar berlakon, pelajar dalam lingkungan umur 14 hingga 15 tahun ini turut terlibat dalam keseluruhan proses -- daripada cetusan idea, pengarahan hinggalah kepada pengurusan produksi.

Pementasan teater "Bilik” menjadi wadah buat pelajar Sekolah Seni Malaysia Johor mengetengahkan kepakaran dalam produksi teater.

"Pementasan ini ialah wadah yang memberi peluang kepada pelajar untuk mengetengahkan dan mengembangkan bakat mereka di luar darjah," kata jurulatih teater Nizam Yamin.

Kata Nizam lagi, tempoh cuti sekolah dimanfaatkan sepenuhnya untuk menimba pengalaman sebenar industri pementasan dan persembahan kreatif.

“Pementasan ini ialah pendedahan yang baik kerana pelajar dapat belajar cara mengarah pementasan di samping pengurusan teater dengan berurusan bersama pemain-pemain industri.”

Menariknya, pelakon-pelakon cilik ini akan membawa watak individu yang lebih dewasa daripada mereka, lantas mencabar kebolehan diri.

Teater "Bilik" berkisar tentang isu-isu yang masih membelenggu masyarakat Melayu Islam seperti agama dan budaya.

Jelas Nizam, walaupun tema yang dibawa berat dan abstrak, penonton tidak perlu gusar kerana pementasan ini akan menyelitkan tema percintaan yang disaluti komedi agar mereka tidak cepat bosan.

Skrip teater "Bilik" merupakan karya Noor Effendy Ibrahim, penulis skrip tersohor dari Singapura, yang mementaskan naskhah ini buat pertama kali pada tahun 90-an.

"Bilik" mula dipentaskan hari ini hingga 17 Disember di Revolution Stage Bandar Utama.