Kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di Jalan Paya Terubong, dekat sini, menyebabkan kerja-kerja pembaikan cerun yang sedang dilakukan Jabatan Kerja Raya (JKR) di kawasan itu terpaksa dihentikan sementara.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang, Ir Shahabuddin Mohd Muhayidin ketika dihubungi berkata, kejadian tebing runtuh berlaku lewat tengah malam Selasa, melibatkan jajaran sepanjang 20 meter di laluan berkenaan.

Menurutnya, kejadian runtuhan itu hanya disedari pada pagi ini namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kerja-kerja pemantauan sedang dilakukan pihak JKR.

Ujarnya, kerja-kerja pembaikan dan pembersihan berdepan sedikit kesukaran berikutan kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dipasang sepanjang jajaran itu turut runtuh dalam kejadian itu.

Berikutan itu, pihaknya terpaksa menghentikan sementara kerja pembaikan dan menunggu tindakan selanjutnya daripada pihak TNB untuk melakukan kerja-kerja pengalihan utiliti.

Buat masa sekarang, katanya, JKR telah memasang kanvas sebagai jalan penyelesaian bagi mengurangkan pergerakan tanah sementara tindakan susulan diambil.

Shahabudin berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana jalan berkenaan tidak ditutup dan masih boleh dilalui kenderaan.

Sementara itu, Pengerusi Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri, Zairil Khir Johari dalam kenyataannya memaklumkan, kejadian runtuhan di Jalan Paya Terubong itu setakat ini tidak mendatangkan bahaya kepada pengguna.

Katanya, laluan masih dibuka kepada umum dan pengguna kenderaan.

Menurutnya, pihak bertanggungjawab sudah melakukan pemantauan dan kerja-kerja pembaikan jalan sedang dilakukan.