Tedung selar sepanjang 3.5 meter ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Krai yang bersembunyi di dalam bilik guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Linggi, di sini, pada jam 3 petang tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Krai, Kapten (PA) Mohd Hanif Omar berkata, reptilia seberat kira-kira 12 kilogram itu ditangkap tiga anggotanya yang tiba di lokasi beberapa minit selepas menerima panggilan daripada guru besar sekolah berkenaan.

Katanya, anggota APM mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menangkap tedung selar itu yang bersembunyi di dalam bilik guru.

"Anggota kami terpaksa berhati-hati ketika menangkap reptilia berbisa itu yang agak agresif tetapi dengan latihan yang ada, ia berjaya ditangkap.

"Ular itu ditangkap menggunakan penjerut dan dimasukkan ke dalam sangkar khas dan dibawa pulang ke pejabat APM dan diserahkan terus kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, guru besar SK Pasir Linggi, Mat Il Ibrahim berkata, dia menyedari kehadiran reptilia itu di dalam bilik guru selepas diberitahu oleh salah seseorang kakitangan sekolah yang melihat ular tedung selar menyelinap masuk.

"Bimbang reptilia itu terlepas, saya segera menutup pintu hadapan dan belakang bilik guru dan menghubungi APM yang tiba di lokasi sejam kemudian.

"Mujurlah pada ketika itu, tidak ada guru yang berada di dalam bilik itu kerana waktu Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) di sudah tamat.

"Saya percaya, ular tedung selar ini datang dari kawasan belakang sekolah kerana terdapat semak samun," katanya.