Tutup

Teka-teki siapa ganti Osman di Johor diketahui hari ini

Teka-teki siapa ganti Osman di Johor diketahui hari ini
Sultan Johor menerima mengadap Osman di Istana Pasir Pelangi pada Sabtu.
KUALA LUMPUR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, hari ini berkenan untuk melantik Menteri Besar yang baharu dan Istiadat Penyerahan Surat Tauliah serta Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Baharu.

Ia selepas Baginda semalam berkenan menerima peletakan jawatan Datuk Osman Sapian.
Kenyataan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani menyebut, Istiadat Pelantikan Menteri Besar Baharu dan Istiadat Penyerahan Surat Tauliah serta Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Baharu akan diadakan pagi ini di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene pada jam 9.30 pagi.

Semalam, Sultan Johor menerima mengadap Osman di Istana Pasir Pelangi bagi menyembah maklum mengenai peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar Johor.


Peletakan jawatan Osman berkuat kuasa Isnin lalu, iaitu pada 8 April dan diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, minggu lalu.
Osman, 67 tahun, Menteri Besar Johor ke-16, dipercayai menteri besar paling singkat tempoh perkhidmatannya, iaitu kurang daripada 11 bulan selepas mengangkat sumpah jawatan pada 12 Mei lepas berikutan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Antara yang disebut-sebut sebagai penggantinya ialah, Dr Sahruddin Jamal, ketika ini memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Negeri.




Tag: Menteri Besar, Sultan Ibrahim Iskandar, Osman Sapian, Johor, Azmi Rohani, Istana Bukit Serene, Istana Pasir Pelangi



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.