Perjuangan memerangi keganasan, terutamanya terhadap golongan wanita dan kanak-kanak tidak pernah berakhir bagi pergerakan Puteri UMNO.

Ketua Puteri UMNO Kuala Pilah June Artisha Mohamad Nazari berkata pihaknya menyedari kebimbangan meruncing mengenai perkara ini dan sentiasa mencari jalan bagi menyelesaikan masalah ini, atau sekurang-kurangnya mengurangkannya.

"Kita lihat pada tahun lepas, Puteri telah mengemukan usul mengenai keganasan seksual dan pedofilia dan akhirnya kita lihat akta baharu diwujudkan serta penubuhan Mahkamah Khas bagi membicarakan kes-kes sebegini.

"Di pihak Puteri sendiri, usaha sering dilakukan bagi merencana program untuk meningkatkan kesedaran berhubung isu ini," kata beliau.

Pada Selasa, syarikat penyelidikan Ipsos yang berpengkalan di Paris, Perancis mengeluarkan kaji selidik berhubung isu-isu yang membimbangkan rakyat Malaysia.

Antara isu yang menjadi kebimbangan utama rakyat Malaysia adalah isu kawalan imigrasi atau kemasukan warga asing, tadbir urus kerajaan dan korporat serta pengangguran.

Isu jenayah dan keganasan berada di tempat keempat daripada 10 perkara yang menjadi kerisauan rakyat Malaysia dalam kaji selidik tersebut.