Kerajaan menyasarkan pembinaan 500,000 unit rumah melalui teknologi baharu Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dalam lima hingga 10 tahun akan datang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, angka itu mampu dicapai menerusi kerjasama pintar antara SPNB dengan sebuah syarikat swasta.

Katanya, kerjasama pintar itu antara lain membolehkan SPNB memajukan kawasan perumahan secara menebus guna tapak kawasan kumbahan milik Indah Water Konsortium Sdn Bhd.

"SPNB juga menjalin kerjasama pintar dengan sebuah syarikat untuk membina rumah-rumah di kawasan kumbahan yang dulunya di bawah IWK untuk dijadikan kawasan perumahan awam.

"Jika program ini dijalankan sepenuhnya dalam sekurang-kurangnya lima hingga 10 tahun akan datang, kira-kira 500,000 unit rumah akan dapat dibina di lokasi-lokasi yang lebih strategik," katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Ulang Tahun ke-20 SPNB dan Sambutan Hari Raya Aidilfitiri di Menara Felda di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Perumahan berkata, kerjasama pintar tersebut telah mendapat kelulusan dasar daripada jemaah menteri.

"Kerjasama pintar antara SPNB dengan syarikat ini telah mendapat kelulusan dasar daripada jemaah menteri dan ia sedang diperincikan untuk mendapat kelulusan yang dimuktamadkan.

"Apa yang saya lontarkan ini adalah idea kreatif di mana kawasan kumbahan yang dulunya memakan satu kawasan yang besar telah menggunakan teknologi baru dengan memperkecilkan kawasan itu yang mungkin kira-kira lima hingga 10 peratus kawasan awal manakala selebihnya 90 hingga 95 peratus untuk kegunaan perumahan awam tanpa berkompromi tentang kumbahan-kumbahan berkenaan," jelas Ahmad Zahid.

Ujar beliau, menerusi teknologi tersebut syarikat konsesi yang dilantik akan membiayai pembinaan kawasan kumbahan yang lebih kecil tanpa mengabaikan tahap keberkesanannya.

Inisiatif itu selaras dengan tiga fokus utama kerajaan iaitu meliputi menangani kos sara hidup, kos pengangkutan dan kos perumahan.