Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) tidak menolak kemungkinan kemajuan teknologi pada masa akan datang akan menyebabkan pengurangan jumlah penjawat awam di negara ini.

Bagaimanapun, Presidennya, Datuk Azih Muda menegaskan pada hakikatnya Malaysia masih belum bersedia untuk membeli atau menggunakan pakai kecanggihgan teknologi bagi menggantikan manusia.

"Ledakan teknologi mungkin akan menyebabkan pengurangan penjawat awam di mana mereka yang bersara tidak diisi tapi mungkin digantikan dengan teknologi.

"Seperti yang disebut Perdana Menteri, kita ada teknologi, mungkin teknologi akan ambil alih tetapi pada masa ini mungkin, negara tidak berkemampuan untuk membeli perkakasan yang mahal atau logistik yang mahal umpama robot di hospital-hospital kerajaan.

"Mungkin belum bersedia lagi pada masa kini dan wujud kemungkinan teknologi maklumat boleh mengurangkan penggunaan sumber (manusia) pada masa akan datang," ujarnya ketika dihubungi Astro AWANI.

Tidak menolak kemungkinan itu, Azih berpendapat ia boleh berlaku pada masa akan datang.