Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan menggunakan teknologi Sistem Industri Bangunan (IBS) bagi pembinaan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) tahun ini.

Menurut menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun, penggunaan teknologi IBS ini mampu mengurangkan kos pembinaan sehingga 18 peratus berbanding rumah konvensional.

Beliau berkata, kos pembinaan mampu dikurangkan daripada RM56,000 kepada RM45,000 dengan penggunaan teknologi IBS yang merupakan teknologi tempatan.

"Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, kita perlu lebih kreatif dan inovatif.

"Dengan teknologi yang ada sekarang ini, kita dapat menyediakan sebuah rumah prototaip dengan kos 18 peratus lebih rendah jika dibandingkan dengan rumah konvensional. Bukan sahaja kosnya rendah tetapi saiz dan kualiti juga dikekalkan," katanya.

Rina berkata demikian dalam majis pelancaran Prototaip Rumah IBS PPRT-Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Pusat GIATMARA Seremban pada Jumaat.

Dalam majlis itu, beliau merasmikan Prototaip Rumah IBS yang dibina oleh pelatih-pelatih di pusat giatmara itu.

Mengulas lanjut, Rina berkata sebanyak 60 peratus atau 919 daripada 1,532 buah PPRT yang dibina pada tahun ini akan menggunakan teknologi IBS.

Ianya bagi memenuhi 30,000 permohonan PPRT setiap tahun bagi membantu rakyat agar terus mendapat kemudahan rumah yang selesa dan menerima bantuan yang sewajarnya.

Kaedah IBS ialah kaedah pembinaan di mana komponen bangunan dihasilkan di kilang atau kawasan terkawal dan seterusnya diangkut dan dipasang di tapak pembinaan dengan menggunakan tenaga kerja yang minimum di tapak pembinaan.

Tempoh pembinaannya juga mampu dijimatkan sehingga empat hingga enam minggu berbanding tiga bulan secara konvensional.

PPRT IBS ini berkeluasan 660 kaki per segi dengan saiz 22 kaki x 30 kaki yang mempunyai tiga bilik dan tangki simpanan air 250 liter.

Rina berkata, melalui inisiatif ini juga, kementerian turut memperkenalkan program latihan industri pelatih-pelatih agensi di bawah kementeriannya bagi melaksanakan projek PPRT.

Jelasnya, institusi-institusi latihan ini akan berkerjasama dengan pihak kontraktor yang melaksankan projek PPRT dengan memberi latihan dan menyelia pelatih-pelatih dalam kerja-kerja pembinaan rumah PPRT.

Program ini dilihat mampu memberi nilai tambah kepada pelatih dengan kemahiran serta pengalaman sebenar di tempat kerja.