Teknologi penyejukbekuan 'Individual Quick Freezing' atau IQF dari Jepun yang digunakan Persatuan Nelayan Negeri Kedah (Nekad) mampu menjamin kesegaran dan kualiti ikan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata teknologi itu mampu menyejukbekukan sebanyak 600 kilogram ikan bagi tempoh sejam berbanding empat jam jika menggunakan sistem sedia ada.

"Teknologi IQF ini mampu menjamin kesegaran ikan sejuk beku sama seperti ikan segar di pasaran dan berbentuk lerai dan sama sekali tidak merosakkan kualiti ikan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-38 Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Kedah di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan dan Usahawan Kedah Datuk Suraya Yaacob, Pengerusi LKIM Datuk Irmohizam Ibrahim dan Pengerusi Nekad Ahmad Rudin Hussain.

Ahmad Shabery berkata pemasangan mesin IQF di Pusat Pengumpulan dan Pengedaran (CCDC) itu berkapasiti 650 tan metrik dan mula beroperasi tahun lalu dengan Nekad memperuntukkan RM2 juta bagi penggunaan teknologi itu.

"Ia bertujuan mengumpul dan menyimpan hasil laut untuk digunakan sebagai stok penimbal dan untuk eksport," katanya.

Katanya kompleks berkenaan turut mempunyai sebuah bangunan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) yang sejak Mac 2016 telah menjalankan aktiviti pemprosesan isi ikan (otoshimi) untuk menghasilkan surimi (isi ikan) bagi memenuhi permintaan pelbagai produk hiliran seperti bebola ikan dan nugget ikan.

"Kemudahan-kemudahan ini merupakan inisiatif kerajaan untuk meningkatkan sosio-ekonomi nelayan setempat memandangkan para nelayan inilah yang menjadi nadi dan wira dalam menyediakan bekalan makanan negara," katanya.

Ahmad Shabery turut mengucapkan syabas kepada persatuan seluruh negara atas kejayaan aktiviti ekonomi mereka, yang telah mencatatkan urusniaga bernilai RM2 bilion dengan keuntungan RM23 juta pada tahun 2015.

"Negeri Kedah mencatatkan nilai keuntungan sebanyak RM107.28 juta dan PNK Kuala Kedah sahaja menatatkan sebanyak RM922,970 yang menghampiri RM1 juta,".

Dalam pada itu, Ahmad Shabery mahu persatuan nelayan seluruh negara terus meningkatkan hasil bagi menjamin pendapatan para nelayan.

"Kerajaan telah memberikan yang terbaik buat nelayan dan berharap mereka juga akan terus memberikan sokongan kepada kerajaan semasa bagi membela nasib mereka," katanya.

Pada majlis itu, sebanyak 76 nelayan menerima peruntukan kesemuanya berjumlah RM760,000 bagi membaik pulih rumah mereka yang uzur.

-- BERNAMA