Kumpulan Syarikat Teksi Sunlight memperkenalkan sistem pengesanan global, (GPS) untuk pengangkutan teksi di Malaysia bagi memberi akses lebih mudah dan cepat kepada pengguna.

Melalui teknologi itu, pengguna boleh membuat tempahan melalui aplikasi Sunlight Unicablink dan mampu menjimatkan masa untuk menunggu teksi.

Majlis pelancarannya dirasmikan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar di ibu negara.

Pengarah Eksekutif Sunlight Unicablink, Choi Wei Yee berkata, sistem GPS ini mampu meningkatkan pendapatan pemandu teksi lebih daripada lima puluh peratus daripada pendapatan asal.

"Selalunya, pemandu teksi hanya akan mampu membuat lima tugasan, namun dengan pengenalan system GPS ini, pemandu teksi akan mampu membuat tugasan dalam 10 hingga 15 untuk satu hari,” kata Choi.

Ujarnya, setakat ini, sebanyak 1000 teksi sudah dilengkapi dengan sistem berkenaan sejak tahun lepas.

Pemandu teksi yang terlibat dikenakan bayaran sebanyak RM180 sebulan bagi membolehkan mereka mendapatkan kemudahan itu.

Sistem yang digunakan itu turut mendapat pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records.