Jabatan Perkhidmatan Veterinar memberi jaminan telur dan ayam pedaging di pasaran adalah selamat dimakan kerana ia dikeluarkan pengusaha dan penternak di negeri-negeri bebas selesema burung (H5N1).

Ia berkata semua negeri yang bebas H5N1 tetap melakukan pemantauan aktif serta kawalan pergerakan unggas di laluan masuk ke negeri masing-masing.

Jabatan itu dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, wabak itu kini sedang dikawal di dalam radius 30 kilometer dari lokasi Kampung Pulau Tebu yang melibatkan enam jajahan di Kelantan iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tumpat, Tanah Merah dan Bachok.

Sementara itu, jabatan itu berkata tiada lokasi baru yang disahkan positif virus H5N1 di Kelantan dan tiada pengesanan jangkitan baharu wabak itu dalam tujuh hari lalu sehingga semalam (24 Mac).

Ia berkata dalam satu operasi semalam, sebanyak 121 ternakan unggas dan 31 biji telur dilupuskan manakala dalam operasi sekatan jalan raya, 208 buah kenderaan diperiksa dan tiga ekor ayam dirampas.

Ia berkata, lokasi yang disahkan positif virus H5N1 ialah di enam jajahan iaitu Kota Bharu (14 lokasi), Pasir Mas (enam), Tumpat (tiga), Tanah Merah, Bachok dan Pasir Putih masing-masing satu melibatkan 50 premis.

"Operasi pelupusan selesai dijalankan di 18 lokasi dan masih diteruskan di lokasi-lokasi lain.

"Sebanyak 37,862 ekor ternakan dan 15,450 biji telur telah dilupuskan selain 3,602 sampel daripada 613 pemilik ternakan unggas telah diambil sehingga semalam," katanya.

Ia menjelaskan ternakan unggas yang dilupuskan tidak bermaksud ternakan tersebut berpenyakit tetapi bertujuan membentuk 'buffer' (penampan) untuk mengelaknya daripada merebak. -- BERNAMA