Tembakan di Tropicana, seorang cedera

Tembakan di Tropicana, seorang cedera
Pasukan Polis dari Unit Forensik memeriksa tempat berlaku kejadian tembak yang mencederakan seorang lelaki di Casa Tropicana, Persiaran Tropicana hari ini. - BERNAMA
PETALING JAYA: Seorang lelaki cedera ditembak di hadapan sebuah kedai serbaneka 24 jam di Persiaran Tropicana, Kota Damansara, di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din berkata kejadian itu berlaku kira-kira 4.50 petang.

Beliau berkata, ketika itu mangsa baru sahaja selesai membeli rokok di kedai serbaneka itu sebelum secara tiba-tiba ditembak oleh seorang suspek.

"Mangsa yang berumur 35 tahun itu, cedera di bahagian perut dan polis percaya suspek telah melepaskan sebanyak tiga das tembakan ke atas mangsa.
"Suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta berwarna putih," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

"Ketika ditembak, mangsa hanya seorang diri sebelum seorang rakan mangsa datang untuk membawanya ke hospital.

"Keadaan mangsa dilaporkan stabil dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan lanjut," katanya.

Mohd Zani berkata polis percaya lebih daripada seorang suspek terlibat dalam kes berkenaan dan punca kejadian masih disiasat.

Katanya siasatan awal mendapati suspek berpakaian warna hitam dan putih serta berkulit cerah.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat kes berkenaan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya. -- Bernama




Tag: tembak, Persiaran Tropicana, Kota Damansara


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.