Pas akan tetap meneruskan perhimpunan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi (ICERD) kerana segala persiapan telah dilakukan termasuk menyewa bas dan hotel.

Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Pas juga memutuskan untuk menukar format perhimpunan daripada bantahan kepada sebagai majlis kesyukuran dengan keputusan Putrajaya tidak membatalkan ICERD.

“Keputusan kerajaan ini sudah lewat untuk umum... mereka (peserta) sudah tempah bas, hotel pun, persiapan dah buat. kalau batal, rugi.

"Jadi kita fikir, kita tukar format, 'situasi menang-menang' kerajaan pun tolak, penganjur pun tidak kecewakan orang ramai. Saya fikir ini langkah terbaik,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas mengenai pendirian Pas dan UMNO yang tetap meneruskan perhimpunan walau kerajaan membatalkan ratifikasi ICERD.

Tindakan Pas dan UMNO meneruskan perhimpunan tersebut dikritik oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz berkata lebih baik jika kedua parti itu mengadakan sujud syukur dan menjamu pisang di surau dan masjid daripada mengadakan himpunan.

Mengulas mengenai itu, Tuan Ibrahim berkata mengapa tidak timbalan menteri itu yang melakukan demikian.

"Itu dia buatlah saya minta dia buat begitu yang kita buat ini format kitalah. Saya ingat dan fikir kalau dia dalam pembangkang pun dia akan sokong apa kita buat," katanya.

Pada masa sama beliau mempertahankan keputusan Pas membantah ICERD dan ia bukan sebagai polemik.

"Ini bukan soal kaum ini soal negara yang isu berlaku kita melihat kalau kerajaan tak tolak, implikasi sangat besar terhadap struktur perlembagaan negara. Ini bukan soal pertembungan kaum," katanya.