Pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang berpuas hati dengan tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang yang dianggap sesuai untuk semua parti mengerakkan strategi jentera masing-masing.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata BN Selangor sudah bersedia dan hanya menunggu arahan daripada Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak serta pengumuman calonnya.

"Bagi kami di BN Selangor, kita berpuas hati dengan pengumuman SPR (berhubung tempoh kempen) itu dan saya harap parti pembangkang jangan pula kata tidak puas hati lepas ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusof mengumumkan PRK DUN Kajang akan diadakan pada 23 Mac dan penamaan calon ditetapkan pada 11 Mac.

Kekosongan kerusi DUN berkenaan berlaku berikutan peletakan jawatan wakil rakyat PKR Lee Chin Cheh pada 27 Jan lepas.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan pula berkata semua parti sudah mula berkempen dengan pelbagai kaedah dan tempoh kempen itu memberi kelebihan kepada individu bebas mahupun parti untuk bertanding.

"Kita harap SPR dapat mengendalikan segalanya dengan baik pada PRK ini," katanya.

Beliau juga berharap pengundi Kajang dan rakyat sedar PRK itu, yang dijangka menelan belanja RM1.6 juta, tidak sepatutnya berlaku hanya atas sebab kepentingan pemimpin pembangkang.

Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong berkata pihaknya menubuhkan jawatankuasa untuk membuat persiapan program berkempen pada PRK itu nanti.

Sambil menyatakan keyakinannya BN dapat menawan semula kerusi DUN Kajang, beliau berkata Gerakan juga akan turun padang dan menggunakan kaedah berkempen dari rumah ke rumah untuk menyampaikan maklumat dan hasrat kerajaan kepada pengundi.

"Hari penamaan calon dan mengundi pada bulan depan. Tempoh berkempen juga sesuai dan cukup untuk semua parti. Saya berharap pilihan raya kecil ini dapat berjalan lancar dan semua pihak perlu bertanggungjawab dengan tidak mewujudkan sebarang kontroversi," katanya.

Beliau berkata walaupun Gerakan tidak meletakkan sebarang calon, namun ia menyokong sesiapa sahaja calon BN yang bertanding.

Timbalan Presiden MCA Datuk Wee Ka Siong pula berkata parti itu juga sudah mengadakan beberapa mesyuarat bagi membincangkan perjalanan dan pendekatan kempen pada PRK itu.

"Tempoh kempen tidak ada masalah dan bersesuaian," katanya sambil menyatakan MCA akan berusaha memastikan kemenangan BN.

Perancang strategi pilihan raya DAP Dr Ong Kian Ming pula berkata pembangkang khususnya DAP akan menggunakan tempoh 12 hari berkempen sebaik mungkin dalam usaha memenangkan calon mereka kelak.

Beliau menjangkakan majoriti kali ini tidak sebesar keputusan lepas berdasarkan beberapa faktor termasuk kesukaran pengundi Cina pulang mengundi kerana baru sahaja meraikan Tahun Baharu Cina.

Pengarah pilihan raya PAS bagi PRK DUN Kajang Dr Hatta Ramli berkata beliau tidak begitu selesa dengan keputusan SPR yang menetapkan hari penamaan calon pada Selasa iaitu hari bekerja.

Anggota Parlimen Kuala Krai itu berkata tarikh itu akan mengganggu urusan mobilisasi penyokong parti khususnya bagi mereka yang menetap jauh dari kawasan itu.

"Saya lebih suka pada hujung minggu... Sabtu atau Ahad, supaya kita dapat berikan tumpuan pada hari itu," katanya. -- Bernama