Tempoh tahanan reman terhadap 11 anggota dan pegawai polis, termasuk seorang yang sudah bersara, dilanjutkan tiga hari bermula esok selepas tempoh reman selama tujuh hari yang dikenakan ke atas mereka sebelum ini berakhir pada Ahad.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Cindy Mc Juce Balitus selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada 9 Oktober lalu, SPRM telah memohon tahanan reman terhadap kesemua suspek bagi membantu siasatan berkaitan kes meminta dan menerima suapan daripada pengedar dan penagih dadah sejak 2014 hingga Jun lalu dengan jumlah keseluruhan suapan dianggarkan mencecah puluhan ribu ringgit.

Kesemua 11 individu itu yang berumur dalam lingkungan 26 hingga 55 tahun terdiri daripada anggota dari Balai Polis Daerah Kota Belud seramai sembilan orang, dan masing-masing seorang dari Balai Polis Daerah Beluran dan Kota Kinabalu.

Menurut Pegawai Pendakwa SPRM Faliq Basiruddin, permohonan untuk menambah tempoh reman itu adalah bagi tujuan meneruskan siasatan sebelum kes itu dibawa ke mahkamah pada rabu depan.

Untuk rekod seramai 13 suspek telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes itu iaitu seorang suspek ditahan di Sibu, Sarawak pada 9 Oktober lalu dan seorang lagi suspek dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud direman tujuh hari pada 12 Oktober lalu.

Kesemua suspek yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan rasuah itu ketika masih bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Belud sebelum ditukarkan ke kawasan lain.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM.