Tempoh tahanan reman 18 remaja lelaki yang ditahan susulan pembabitan dengan kongsi gelap 'Geng 35' dan 'Satu Hati' dilanjutkan sehingga 10 Mei ini.

Perintah lanjutan tahanan reman yang berakhir pada Isnin, disambung ke atas semua suspek berusia antara 15 hingga 17 tahun itu.

Majistret Adibah Husna Zainal Abidin mengeluarkan perintah itu bagi membolehkan siasatan polis mengikut Seksyen 52 Akta Pertubuhan 1966.

Kesemua 18 remaja terdiri daripada pelajar tingkatan tiga dan lima di dua sekolah menengah di Kuala Muda.

Mereka adalah antara 21 yang ditahan susulan penyebaran beberapa foto menampilkan upacara sambutan keraian berkaitan samseng melalui laman sosial sebelum ini.