Tempoh tahanan reman rakyat Malaysia, Azizul Raheem Awaluddin di Sweden dilanjutkan selama 11 hari lagi atas dakwaan memukul anak lelakinya

Pendakwa Anna Arnell meminta mahkamah melanjutkan tempoh tahanan kerana bimbang Azizul akan melarikan diri ke Malaysia dan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Dalam prosiding satu jam itu, Arnell telah meminta lanjutan 14 hari, tetapi mahkamah hanya memberikan 11 hari kerana kes ini telah berlarutan agak lama.

Perbicaraan seterusnya akan diadakan pada 10 Februari nanti.

Azizul muncul di mahkamah hari ini dengan peguamnya, Jonas Tamm. Turut hadir pada pendengaran itu dua ahli keluarganya dari Malaysia dan seorang pegawai dari Tourism Malaysia.

Sementara perbicaraan untuk isterinya, Shalwati Nurshal akan dijalankan esok.

Azizul dan Shalwati telah ditahan sejak 18 Disember 2013 pada tuduhan memukul anak lelakinya kerana tidak menunaikan solat.

Sweden mempunyai undang-undang yang melarang ibu-bapa memukul, mencederakan atau memalukan anak-anak.

Kanak-kanak dilarang dihukum secara fizikal, baik ringan mahupun berat dan undang-undang berkenaan dikuatkuasa sejak 1979.