Tempoh reman seorang remaja perempuan dan teman lelakinya kerana disyaki membunuh abang kandungnya disambung enam hari lagi.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Norhidayati Mohammad Nasroh di Mahkamah Majistret Taiping, di sini, hari ini.

Isnin lalu, kedua-dua remaja berusia 14 dan 15 tahun itu direman enam hari bagi membantu siasatan kes penemuan mayat remaja lelaki berusia 16 tahun yang disyaki dibunuh di Taman Glenview di Kamunting di sini.

Mereka ditahan pada Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian pada pukul 12.18 tengah hari Ahad, mayat S. Sritharan yang dibalut plastik ditemukan dengan kesan kelar di leher dan kedua-dua pergelangan tangan di belakang sebuah rumah kosong yang terletak bersebelahan rumahnya.

Mayat pelajar tingkatan empat itu dijumpai bapanya setelah dua hari dilaporkan hilang apabila tidak pulang ke rumah selepas ke sekolah Jumaat minggu lalu.

Siasatan polis kemudiannya membawa kepada penangkapan kedua-dua suspek di mana seorang daripadanya adalah adik perempuan mangsa serta teman lelaki yang mengaku telah membunuh mangsa.

Difahamkan, kejadian itu berlaku gara-gara pergaduhan yang dikatakan berpunca daripada telefon bimbit antara mangsa dan kedua-dua suspek.